| Sinopsis |
Koleksi lengkap 7000 mutiara kata untuk panduan dalam kehidupan.
Dalam kehidupan bermasyarakat, ramai yang mempunyai kecenderungan menggunakan kata-kata hikmah. Sering kali juga kata-kata hikmah itu klise malah penggunaannya separuh benar ataupun tidak tepat. Sebagai kesannya, alat pengucapan yang ber-kesan itu menjadi tumpul.
Jesteru, kutipan kata-kata hikmah daripada sumber yang asal perlu diketengahkan bagi mengelakkan perkara seumpama itu berlaku. Berdasarkan pernyata-an ini, penyusun buku ini mengambil langkah bijak bukan sahaja mengumpul kata-kata hikmat dan ungkapan bestari, malah memastikan kesahihan dan makna asal kata-kata tersebut tidak tercemar ataupun lari daripada makna sumber yang diambil.
Kata-kata hikmah dapat dianggap sebagai wacana sosial. Wacana ini penting dalam hubungan manusia dan ekspresi individu bagi menyampaikan berbagai-bagai nilai, perasaan dan fikiran. Melalui wacana ini pelbagai persoalan, obsesi, perjuangan dalam kehidup-an dapat disampaikan, dibentuk dan malah di-panjangkan.
Tanpa wacana yang lengkap, sesebuah masyarakat itu tidak dapat wujud sepenuhnya dan ahlinya tidak dapat berhubung dengan sewajarnya. Lantaran itu, kata-kata hikmah dan bestari yang terbaik dan terpilih perlu disusun seperti dalam bentuk terlengkap buku ini.
Usaha pernghasilan buku ini memerlukan penglibat-an yang menyeluruh, kesungguhan, ketabahan, ke-rajinan, dan ketajaman daya intelektual. Aspek inilah yang terdapat dalam diri penyusun dalam usaha mengumpul, memilih dan menyaring kata-kata hikmah. Kerja-kerja yang bersifat intelektual ini jarang di-lakukan oleh ahli masyarakat.
Proses ini bukan sahaja memerlukan pengorbanan masa yang bertahun-tahun malah melibatkan tenaga dan fikiran yang bukan sedikit. Pengalaman perit penyusunnya semasa proses mengumpul, memilih, menyaring sehingga satu tahap yang teruji kemantapan adalah satu pengorbanan kepada pembaca kerana dihidangkan dengan sesuatu yang mempunyai keaslian dan kemantapan.
Ungkapan yang pada mulanya dilahirkan dalam keadaan tertentu, pada masa dan tempat tertentu menjadi bernilai kerana keterampilan dan kecermatan pengungkapnya mengukirkan buah fikiran dengan menggunakan kata-kata sebagai senjata tajamnya. Akibatnya, terserlah ketinggian daya fikirnya sebagai pemimpin, pemikir, ataupun cendekiawan besar yang ideanya tahan diuji zaman sehingga layak menjadi kata-kata hikmat ataupun kata-kata bestari.
Kata-kata itu menjadi aforisme iaitu ungkapan hebat, ringkas, mengandungi kebenaran umum yang indah, sedap dan sekali gus bermakna sekali bagi dihayati. Secara tidak langsung kata-kata hikmat adalah satu retorik ataupun seni pengaturan makna-makna kehidupan melalui alatan makna kata berkesan bagi menjana pemikiran dan membijaksanakan pembacanya. Ia bertujuan memberi kesedaran, pengetahuan dan pengalaman supaya pembaca bertindak lebih matang dalam menangani masalah dan cabaran kehidupan pada alaf akan datang.
Dengan menyedari betapa pentingnya kemahiran ini dipupuk dan disemai di kalangan masyarakat, khusus-nya di kalangan pelajar penyusun mengambil daya usaha bagi menyusunnya dalam sebuah buku yang mudah dirujuk dan kemas kini.
Buku ini mengambil masa kira-kira lima tahun bagi disiapkan yang secara tidak langsung dapat menggambarkan ketelitian dan kegigihan penyusunnya.
Buku ini dapat digunakan secara khusus oleh pelajar, guru, kakitangan kerajaan, pemidato, penceramah pemimpin, ahli politik, dan sesiapa sahaja yang mahu mengasah buah fikiran dan daya ekspresi mereka supaya dapat muncul sebagai seorang yang cemerlang dalam bidang masing-masing.
Bahannya dikutip daripada pelbagai sumber, negara Timur dan Barat, negara Utara dan Selatan, pemimpin dan pemikir besar daripada pelbagai peringkat. Hasilnya ia dapat diterapkan dalam penulisan ceramah, ucapan, pidato, bahas, malah dalam perbincangan dan perlakuan seharian.
Sebanyak 7000 madah berkenaan juga berupaya menjernihkan pemikiran dan perasaan, mematangkan kehidupan serta memperlihatkan falsafah kehidupan yang murni. Malah, daripada segi lain ia mampu meningggikan akal budi dalam menuju masyarakat madani. Buku ini bukan sahaja mencatat sejarah sebagai pertama kali dihasilkan oleh rakyat Malaysia, malah boleh dianggap terlengkap, paling kemas kini, paling sistematik dan terulung khususnya di rantau Asia Tenggara.
Buku ini bukan sahaja berguna kepada pelajar sekolah dan institusi tinggi, malah pemimpin, pemidato wakil rakyat, penulis, wartawan, penceramah, dan seluruh lapisan masyarakat.
Justeru, wajar bagi ahli masyarakat mempunyai cita-cita ingin maju dan berjaya dalam lapangan masing-masing bagi memiliki buku ini sebagai rujukan utama dalam menempuh kehidupan. Kata-kata berkenaan dapat memberi semangat, inspirasi, panduan serta mengandungi falsafah dan pengajaran berguna bagi direnungi, dihayati dan diamalkan dalam mengharungi kehidupan yang penuh pancaroba. |