| Sinopsis |
Saudara ingin menjadi jurutera ataupun saintis? Atau, saudara memang jurutera yang cemerlang dalam kerjaya? Tetapi tahukah saudara tanggungjawab jurutera sebenarnya dan apakah sumbangan dan persepsi Islam berkenaan bidang ini?
Sebagai jurutera ataupun saintis, apakah sumbangan anda kepada Islam? Penulis buku ini cuba membawa pembaca menghayati sumbangan tokoh-tokoh Islam yang terdiri daripada saintis dan jurutera suatu ketika dulu. Apabila membaca buku ini penulis berharap jurutera-jurutera Islam lebih bermotivasi hendak berusaha dengan gigih dan berazam menyumbangkan sesuatu bagi membanggakan agama Islam. Sebagai saintis Islam kita perlu sedar bahawa sains tidak boleh dipisahkan daripada agama. Oleh itu buku ini ingin menyedarkan umat Islam bahawa pemisahan sains dengan agama seperti yang diamalkan oleh sains barat itu salah. Setiap kajian ataupun rekaan baru yang hendak dilakukan mesti berlandaskan Quran dan sunah.
Keistimewaan buku ini adalah penulis menghuraikan sumbangan-sumbangan tokoh Islam dalam beberapa cabang bidang kejuruteraan. Penulis berharap para saintis dan jurutera dapat menjadikan tokoh-tokoh ini sebagai idola ataupun contoh dalam menjalankan kerja. Tokoh-tokoh yang dibincangkan dalam buku ini bukan hanya mahir dalam bidang kejuruteraan malah mereka juga mahir dalam beberapa bidang lain seperti matematik, falsafah dan sebagainya. Selain itu bukti-bukti saintifik yang selari dengan kehendak Islam turut dijelaskan supaya ia dapat menanamkan rasa kagum dan bangga di dalam hati pembaca dengan agama yang dianutinya. Antara yang diterangkan dalam bahagian ini adalah bukti saintifik yang ada pada kejadian alam, haiwan, amalan Islam dan Quran.
Selepas membaca buku ini juga, kita dapat mengetahui cabaran-cabaran yang dihadapi Islam masa kini. Musuh Islam sentiasa cuba hendak menjatuhkan Islam dengan menggunakan setiap peluang yang ada. Dunia pada hari ini dengan jelas menunjukkan kemusnahan bumi Arab yang memiliki beribu-ribu sejarah keagungan Islam di sana. Jadi jangan mudah leka dengan tipu daya mereka yang tidak senang dengan masyarakat Islam.
Setiap bab di dalam buku ini ditulis menggunakan bahasa yang mudah difahami. Buku ini direka bentuk supaya setiap bab tidak terlalu banyak muka suratnya sehingga membosankan pembaca. Bab-babnya yang pendek dapat meningkatkan semangat pembaca bagi meneruskan bacaannya sehingga akhir dan pembaca tidak mudah jemu.
Penulis dan seluruh umat Islam berharap kegemilangan Islam dalam bidang pentadbiran, kerajaan dan sains teknologi dapat diulangi seperti yang pernah berlaku. |