| Sinopsis |
Bagaimana kita hendak mengenal potensi diri? Melalui pendekatan psikologi, pembaca lebih berpotensi menjadi seorang yang lebih hebat kerana pengetahuan yang hebat.
Manusia tidak pernah terkecuali daripada berhadapan dengan persekitaran alam semula jadi.
Apa yang uniknya, persekitaran bukan sekadar senario-senario lakonan yang menjadi bahan tontonan dan hiburan hidup kita sahaja. Tetapi ia adalah rencah kehidupan yang penuh dengan ujian dan cabarannya.
Suasana persekitaran yang terlibat dalam hidup kita merangkumi tiga elemen utama iaitu persekitaran fizikal, sosial dan intrafizik. Persekitaran fizikal menemukan kita dengan pelbagai cabaran material yang berbentuk cuaca, kesempitan hidup dan pelbagai masalah-masalah kekurangan dalam aspek suasana.
Namun begitu, apa yang lebih mencabar adalah lapangan persekitaran sosial yang banyak mendesak kita mempelajari kemahiran bersosial dengan lebih baik. Psikologi adalah asas yang menerbitkan banyak pendekatan dan kemahiran berkomunikasi dan bersosial dengan bijak. Begitu juga dengan aspek mengenal diri.
Dengan psikologi, kita belajar memahami, menguasai, berbakti dan memenuhi kehendak sosial. Semua orang ingin menjadi seorang yang berpengaruh dan ingin mendapat perhatian ramai. Apa yang dikenal pasti adalah, kita memerlukan sesuatu bidang kehebatan untuk berpengaruh sebagai orang yang berpersonaliti unggul.
Keunggulan personaliti bukan semata-mata diperolehi oleh orang yang memiliki kehebatan dalam sesuatu bidang kehidupan. Apa yang lebih utama adalah kemuliaan dan kemahiran kita dalam memahami orang lain dan memahami diri sendiri.
Sebelum ini, psikologi hanya menjadi pelajaran khusus bagi para guru, ibu bapa, pendidik dan juga para profesional seperti doktor serta kaunselor. Tetapi ini tidak bermakna psikologi adalah bidang pengetahuan yang sukar dipelajari. Sebenarnya ia adalah pengetahuan yang baik difahami dan dimanfaatkan oleh semua peringkat masyarakat.
Terutamanya bagi anda sendiri yang sememangnya seorang remaja lebih banyak terlibat dengan konflik-konflik perkembangan psikologi. Alangkah baiknya kalau ada pelajaran psikologi yang ringan dibaca oleh golongan remaja. Siri Chit Chat Remaja mengenai Psiko ini adalah salah satu daripada inisiatif bagi mempersembahkan pendekatan psikologi kepada anda semua.
Di dalamnya terkandung pelbagai teori-teori psikologi yang ringkas tetapi padat dan bersesuaian untuk kegunaan peringkat remaja. Teori psikologi mengajarkan kita motivasi, kemahiran memahami dan mengawal dunia pergaulan sosial, membina personaliti dan membantu individu lain yang memerlukan.
Selama ini, adakah kita memiliki banyak kesedaran bahawa kita adalah manusia yang mempunyai pelbagai potensi? Isi kandungan buku ini mempersembahkan pelbagai bentuk dorongan yang sedia ada dalam diri kita. Dorongan-dorongan tersebut sebenarnya adalah potensi diri yang mungkin telah lama beraksi tanpa disedari ataupun ia masih terpendam dalam diri kita. Siapa yang akan mengeluarkannya? Buku Chit Chat? Ibu bapa? Sahabat?
Pengetahuan psikologi? Ataupun diri kita sendiri? Buku ini akan menjawab bagi pihak kita dan memberitahu tentang di mana potensi kita berada. Semoga melalui pendekatan psikologi ini pembaca lebih berpotensi menjadi seorang yang hebat kerana pengetahuan yang hebat. Seterusnya, diharapkan supaya kefahaman mengenai doktrin psikologi ini dapat diperkembangkan dan ditambahkan lagi melebihi fakta-fakta yang tersurat dalam buku ini. Pengetahuan yang baik adalah pengetahuan yang diingat, difahami dan diamalkan. Selamat membaca…
Penulis,
Mohd Fadzli Abu Bakar |