Kedai Buku Online - KatalogBuku.Com
Kedai Buku Online - Katalog Buku

Menjadi Berketerampilan

Menjadi Berketerampilan


Kategori Buku

Kewangan Peribadi
Motivasi
Fiksyen/Sastera/Novel
Agama
Pengurusan/Perniagaan/Kewangan
Cinta/Perhubungan
Kekeluargaan/Wanita
Remaja
Teknikal/Profesional
Pendidikan
Lain-lain

Tajuk Menjadi Berketerampilan
Pengarang Robiah K. Hamzah
Kategori Remaja
Penerbit PTS Publication
ISBN
Format Paperback
Harga RM14.90
Sinopsis Tampilkan diri anda dengan lebih hebat, anggun dan bergaya walau di mana sahaja anda berada. Personaliti yang menarik melambangkan keperibadian yang hebat.

Sikap dan citra masyarakat kita pada masa hadapan datang bergantung pada asuhan, pendidikan, semaian norma dan nilai-nilai yang diwariskan oleh orang tua kepada kaum remaja hari ini.

Dalam pada itu, kita juga sedar adanya gejala buruk yang mempengaruhi sebahagian daripada kaum remaja kita pada masa kini. Di rumah terdapat sebahagian daripada ibu bapa yang buntu dalam mencari jalan bagaimana mendisiplinkan anak-anak dan bagaimana menanamkan nilai adab dan sopan santun di kalangan anak remaja mereka sehingga bertambah luasnya jurang generasi di kalangan ibu bapa dan anak remaja. Di sekolah, guru-guru terpaksa menghadapi masalah kejahatan dan kenakalan golongan remaja yang bukan lagi sekadar kenakalan biasa, hingga menimbulkan situasi di mana guru sentiasa tercabar dan dicabar.

Semakin maju sistem pendidikan semakin banyak hambatan yang mendorong golongan remaja melakukan lebih banyak keganasan, jenayah, kemerosotan budi pekerti dan paling membimbangkan golongan remaja kita kini kurang penampilan diri yang berakhlak, bersopan santun dan berkualiti. Keluhan golongan cendekiawan dari berbagai-bagai institut pengajian tinggi yang rata-rata bersetuju kegagalan golongan muda bertarung dalam merebut peluang pekerjaan dan kerjaya yang lain sama ada dalam sektor awam ataupun swasta bukan kerana tiada kelulusan tetapi gagal membuat penampilan yang dapat diterima oleh majikan. Masalah ini masih mengulit hampir semua golongan remaja kini.

Menyedari hakikat inilah maka buku Menjadi Berketerampilan diusahakan. Antara kandungannya menyentuh terus kepada cara penampilan peribadi fizikal yang mempesonakan bermula dari muka, bibir, mata, suara hinggalah pada cara berdiri, duduk dan berjalan yang mengagumkan.
Menyedari hakikat penampilan diri secara fizikal yang baik memudahkan pengurusan diri secara rohani ataupun membina kecantikan dalaman individu, maka di dalam bab kedua penulis menghuraikan cara-cara menampilkan kecantikan dalaman semasa berurusan dengan orang lain. Kecantikan rohani memerlukan analisis dalam diri dan menghargai diri sendiri. Tanpa rasa ini, penampilan anda sukar disenangi oleh orang di sekitar anda.

Di dalam bab ketiga, ada disediakan secara terperinci cara anda beraksi di majlis rasmi dan tidak rasmi termasuklah jenis pakaian yang wajar diperagakan, cara berhias dan cara yang bersopan semasa makan di dalam majlis-majlis formal termasuklah cara menggunakan peralatan di meja makan dan cara makan di dalam jamuan khas.

Cara berinteraksi dapat membantu individu mendaki tangga kejayaan tanpa hadnya. Oleh itu, di dalam bab keempat, penulis menampilkan cara berinteraksi yang mengagumkan bermula dari cara berbual dalam bentuk aksi sehinggalah kepada cara berbual yang menarik dalam situasi formal. Di dalam bab seterusnya, tumpuan diberikan kepada bimbingan berucap di dalam majlis formal yang difokuskan kepada cara-cara berinteraksi apabila mempengerusikan mesyuarat biasa dan majlis-majlis ilmu yang lain.

Sebagai bimbingan dalam memburu kerjaya, remaja didedahkan dengan cara menyediakan keterangan diri (resume), cara mengisi borang permohonan dan paling penting huraian secara khusus alam temu duga pekerjaan yang mencakupi perkara-perkara yang diperhatikan oleh majikan semasa temu duga, persediaan dan protokol di dalam bilik temu duga. Di dalam bab terakhir, penulis juga memberikan pendorong jiwa bagi menuju kecemerlangan.

Akhir sekali, buku Menjadi Berketerampilan ini adalah wadah buat semua remaja, pendidik golongan remaja, ibu bapa, guru-guru, bakal guru dan golongan yang terlibat dalam kursus pengurusan tenaga manusia.

ROBIAH KULOP HAMZAH
 

 


All rights reserved ©2008. katalogbuku.com. Managed by MyNet Marketing.