| Sinopsis |
Kuasai Bahasa Inggeris dalam masa tiga bulan ataupun hanya 21 hari!
Menguasai bahasa dalam masa 3 bulan ataupun hanya 21 hari! Adakah ini benar? Adakah ini suatu khayalan? Bolehkah ia berlaku? Sekali pandang perkara ini mustahil kerana pembelajaran yang mengambil masa berbelas-belas tahun pun belum terbukti hasilnya. Berdasarkan kajian didapati penuntut-penuntut institusi pengajian tinggi tempatan hari ini masih belum dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik walaupun didedahkan dengan pembelajaran bahasa Inggeris sejak di sekolah rendah lagi. Apa silapnya? Oleh itu buku ini dihasilkan untuk berkongsi kaedah penguasaan bahasa Inggeris dengan mudah, cepat dan berkesan dalam masa yang singkat.
Penekanan berkenaan pentingnya penguasaan bahasa Inggeris di kalangan orang Melayu khususnya dalam masyarakat Malaysia tidak perlu dihuraikan secara terperinci kerana dalam bidang apa sekalipun bahasa Inggeris tetap berperanan penting contohnya dalam bidang pendidikan. Sistem pendidikan terkini memperkenalkan penggunaan bahasa Inggeris dalam pembelajaran subjek Matematik dan Sains. Bahasa Inggeris adalah bahasa antarabangsa dan digunakan secara global. Dalam masyarakat hari ini orang yang menguasai bahasa Inggeris dengan baik disanjung tinggi dan dipandang sebagai orang yang berilmu. Kedudukan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan graduan lepasan universiti tempatan tidak memuaskan dalam bidang apa sekalipun.
Walaupun mereka memperoleh ijazah dengan kepujian dalam bidang masing-masing, mereka tidak dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik. Ini amat membimbangkan kerana apabila dilihat daripada segi masa yang digunakan bagi mempelajari bahasa tersebut amat panjang iaitu sejak daripada tadika sehingga ke universiti. Apabila dikira daripada segi tempoh pembelajaran, mereka mengambil masa hampir 17 tahun bagi mempelajarinya. Hasilnya amat mendukacitakan. Pembelajaran bahasa Inggeris yang dilalui seolah-olah membuang masa sahaja.
Walau bagaimanapun kemungkinan bagi menguasai bahasa Inggeris dengan baik amatlah tinggi. Oleh demikian buku ini ditulis untuk mereka yang benar-benar ingin menguasai bahasa terutamanya bahasa Inggeris dengan mudah dan dalam masa yang singkat. Sekarang adalah masanya saudara cuba menguasai bahasa Inggeris dengan baik, sesuai dengan galakan daripada kerajaan di samping meningkatkan penggunaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar yang pencapaiannya kurang memuaskan.
Buku ini dikarang bagi menambahkan jalan kepada jalan-jalan yang ada bagi memudahkan saudara menguasai bahasa tersebut. Ketika buku ini dikarang, saya sedang menjalankan atau mempraktikkan setiap kaedah yang terkandung dalam buku ini kepada beberapa orang pelajar. Selepas terbukti keberkesanannya saya menerbitkan buku ini untuk dikongsi bersama pembaca supaya pembaca mendapat manfaat apabila mempraktikkannya.
Akhir sekali pembaca perlu melapangkan dada saudara, mengosongkan minda dan menentukan niat sebenar mengapa saudara memilih dan membaca buku ini sebelum mengikuti bab-bab seterusnya. Diharapkan buku ini dapat memberikan manfaat kepada pembaca bagi mencapai cita-cita masing-masing terutamanya untuk menguasai bahasa Inggeris dengan cemerlang.
Zuihaimi Ismail
25hb November 2002 |