| Sinopsis |
Kecemerlangan bermula daripada KEMAHUAN, AZAM dan TEKAD yang kuat bagi berjaya. Dengan adanya azam, insan cacat pun mampu berjaya dalam pelajaran. Yang penting, kemahuan untuk berjaya
“Boleh tolong saya, cikgu...”
BERDASARKAN pengalaman penulis sebagai guru kaunseling di sekolah selama 12 tahun, antara persoalan yang sering berlegar-legar di fikiran adalah; apakah sebenarnya yang membezakan pelajar cemerlang dan kurang cemerlang? Begitu juga di kalangan pelajar. Ada yang bertanya bagaimana hendak menjadi pelajar cemerlang? Ada pula yang bertanya tip-tip seperti teknik mengingat, kemahiran mengurus diri dan masa dan sebagainya. Ada yang mengadu masalah yang berkait rapat dengan kemahiran belajar seperti masalah malas, tidak cukup masa, mengantuk semasa di kelas dan sebagainya.
Begitu juga dengan pengalaman penulis sebagai penceramah motivasi, menjadi penulis tamu ruangan Klinik Kemahiran Belajar, Dewan Pelajar, Fokus SPM dan Dewan Siswa selama hampir sedekad. Ramai pelajar dari seluruh negara yang bertanya kepada penulis mengenai tip-tip untuk menjadi pelajar cemerlang. Misalnya, cara menangani sikap malas, masalah stres, konflik dengan rakan-rakan dan sebagainya.
Bertitik tolak daripada minat yang mendalam bagi membantu para pelajar dan memahami rahsia di sebalik kecemerlangan pelajar-pelajar dalam peperiksaan rasmi seperti UPSR, PMR, SPM, STPM dan peperiksaan di peringkat universiti, penulis menyelidik rahsia pelajar-pelajar cemerlang ini melalui media seperti akhbar, majalah, buku dan sebagainya. Penulis juga melakukan temu bual sendiri dengan pelajar-pelajar penulis yang meraih kejayaan di peringkat peperiksaan PMR dan SPM di sekolah.
Hasil penyelidikan yang dijalankan oleh penulis, rupa-rupanya bukanlah sukar benar hendak menerjah kecemerlangan dalam pelajaran. Semua orang mampu melakukannya. Sama ada anda normal ataupun kurang upaya, kaya ataupun miskin, belajar di sekolah biasa ataupun asrama penuh, anda mampu meraih kecemerlangan.
Pokok pangkalnya, keazaman dan kesungguhan meraih kecemerlangan. Pepatah ada mengatakan 'Jika tidak dipecahkan ruyung, masakan dapat sagunya'. Demi memudahkan anda menghayati rahsia kecemerlangan pelajar-pelajar yang hebat ini, penulis memilih bagi mengklasifikasikan rahsia itu dalam bentuk abjad; iaitu Petua dari A hingga Z rahsia pelajar pelapis. Penulis menggelarkan generasi pelajar cemerlang ini sebagai pelapis kerana di tangan merekalah letaknya masa hadapan negara yang gemilang, insya-Allah; sebagaimana tokoh Islam seperti Al-Khindi, Ibnu Razi dan Imam Syafie menerokai kegemilangan ilmu seterusnya membina tamadun.
Bagaimanakah anda dapat menghayati dan mengamalkan isi kandungan buku ini? Buku ini dibahagikan kepada 26 abjad iaitu dari A hingga Z yang menjadi akronim rahsia kecemerlangan pelajar. Misalnya, A ialah Azam, B untuk Bijak Memilih dan sebagainya. Sekiranya anda mempunyai masa yang banyak, pilihan terbaik ialah bacalah satu demi satu bab dalam buku ini; iaitu petua dari A hingga Z mengenai rahsia kecemerlangan. Selepas anda membaca buku ini, harapan penulis adalah anda berasa yakin setiap orang termasuklah diri anda mampu meraih kecemerlangan, asalkan kena cara dan gayanya.
Sekiranya, pelajar tidak punya banyak masa menelaah buku ini, bacalah bab-bab yang anda fikir perlu bagi merangsang diri, membina minda untuk menerjah kecemerlangan. Misalnya, jika anda berasa lemah dari segi semangat, tiba-tiba berasa malas atau pelbagai masalah melanda diri, bacalah bab Azam, Cabar Pemikiran, Enjoy dan Impian bagi merangsang diri. Jika berasa ragu-ragu sama ada boleh berjaya atau tidak, bacalah bab Yakin Diri. Jika inginkan petua-petua tentang pembelajaran, misalnya teknik mengurus masa, mengambil nota, pemakanan, bacalah bab Waktu, Makanan dan Nota. Begitulah juga dengan bab-bab yang lain; masing-masing mempunyai justifikasi petua yang diamalkan oleh pelajar cemerlang dan boleh anda amalkan untuk berjaya.
Jelasnya, buku ini mendedahkan jejak-jejak yang telah dilalui dan diterokai oleh pelajar cemerlang dalam peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan sebagainya. Petua dan cara setiap pelajar adalah berbeza, namun adalah wajar jika anda menjejaki rahsia pelajar-pelajar cemerlang. Pada setiap bab penulis selitkan pengalaman dan petua pelajar generasi pelapis yang hebat ini. |