| Sinopsis |
“Perasaan gementar dan takut sering menghantui bakal-bakal ibu menjelang hari melahirkan. Buku ini amat menarik dan sesuai dijadikan panduan bagi membina keyakinan serta fikiran yang positif. Tahniah kepada penulis! Sekiranya saya bertemu dengan buku ini sebelum melahirkan bayi saya, insya'Allah saya berkeyakinan dan lebih menikmati detik-detik manis kelahiran itu.”
-Khairun Nisa' Binti Harun, ibu muda kepada bayi comel dan sihat, Muhammad Anas Al-Ikram-
Setelah disahkan hamil, saat itu adalah detik yang paling indah dalam diari si ibu. Temu janji bersama doktor bagi tujuan pemeriksaan si bayi sentiasa ditunggu-tunggu. Ketika doktor melakukan ujian imbasan, si ibu tidak sabar untuk menatap. Apa khabar agaknya si permata hati di dalam kandungan, sihatkah dia? Persiapan buat kelengkapan permata hati yang bakal lahir juga dilakukan seawalnya. Pantang ada jualan murah barangan bayi, si ibulah orang pertama membeli, terutamanya ketika saat menunggu kelahiran anak pertama. Alahan yang menguji kesabaran di awal kehamilan, susah hendak tidur malam, kejang kaki, pening kepala, sakit pinggang sehinggalah kepada kesakitan semasa melahirkan, semua ini akhirnya bersatu menjadi kenangan indah setelah bergelar ibu.
Proses kelahiran sememangnya penuh warna-warni. Tibanya saat melahirkan itu, ada wanita yang terpaksa berjuang sendirian, tanpa suami ataupun ibu di sisi. Ada yang hampir-hampir melahirkan anak di tempat parking kereta hospital. Ada pula yang terpaksa melalui pembedahan kerana si ibu sudah keletihan dan denyutan jantung bayi semakin lemah. Semua pengalaman dikongsikan bersama di dalam buku ini. Ikuti himpunan cerita ibu-ibu sepanjang proses melahirkan anak pertama dan panduan semasa melahirkan si permata hati yang sentiasa dinantikan kehadirannya ini. |