| Sinopsis |
Ramai orang fasih dan petah bercakap, tetapi semakin banyak mereka bercakap, semakin banyak mereka menyakitkan hati orang yang mendengar percakapan mereka.
Apabila kita ingin menjadi orang yang popular, disukai ramai dan disanjung, salah satu kemahiran yang mesti ada pada diri kita ialah kemahiran bercakap-cakap dan berbual-bual dengan orang lain. Ramai orang yang rezeki mereka bergantung kepada sejauh mana mereka memiliki kemahiran jenis ini. Ahli-ahli politik, jurujual, penghibur, artis-artis filem dan televisyen, pakar-pakar motivasi dan banyak lagi, mereka itu semuanya hidup dengan kemahiran bercakap-cakap dan berbual-bual dengan sesiapa sahaja, di samping mereka juga memiliki kemahiran-kemahiran lain.
Ramai orang fasih dan petah bercakap. Tetapi makin banyak mereka bercakap, makin banyak mereka menyakitkan hati orang-orang yang mendengar apa yang mereka perkatakan. Ramai orang menyangka, asal sahaja kita bercakap, kita sudah berkomunikasi. Jadi, mereka menyangka, apabila kita pandai bercakap, bermakna tentulah kita pandai berkomunikasi. Ini tidak benar. Bercakap ialah sejenis bakat. Ada orang dari kecil-kecil lagi sudah petah bercakap. Tetapi berkomunikasi bukan setakat bercakap. Tanpa bercakap pun kita boleh berkomunikasi. Sebagai contoh, perbuatan diam juga ialah sejenis komunikasi. Sebagai mana apabila kita bercakap kita sebenarnya hendak memberitahu sesuatu, apabila kita diam pun kita sebenarnya hendak memberitahu sesuatu.
Kemahiran berkomunikasi adalah berdasarkan ilmu pengetahuan. Oleh itu ia mesti dipelajari, sebagaimana kita mempelajari ilmu-ilmu pengetahuan lain. Mengikut pakar-pakar psikologi, banyak faktor yang menentukan kebahagiaan manusia, tetapi antara faktor-faktor itu, faktor yang paling penting ialah hubungan yang rapat dengan seorang manusia lain. Hubungan rapat seperti itu, boleh didapati melalui proses bercakap-cakap dan berbual-bual dengan pasangan. Percakapan dan perbualan yang bermutu tinggi dapat membuatkan dua orang yang pada asalnya asing antara satu sama lain, menjadi sangat rapat dan intim. Dalam keadaan begitu manusia dapat memenuhi pelbagai keperluan jasmani dan rohani mereka, serta menikmati kebahagiaan.
Pertama, kita memerlukan percakapan dan perbualan dengan orang-orang lain kerana hubungan yang rapat dan intim dengannya dapat menghilangkan rasa kesepian dan kesunyian yang kita alami jikalau kita tidak memiliki seseorang untuk bercakap dan berbual-bual dengannya. Kedua, sebagai manusia kita perlu bercakap-cakap dan berbual-bual dengan kita kerana kita memerlukan rangsangan sentuh-an, belaian, rangsangan emosi dan rangsangan otak.
Kemahiran bercakap-cakap, berbual-bual, memuji, menghibur dan bergurau sangat diperlukan bagi memberikan rangsangan itu. Ketiga, manusia perlu bercakap-cakap kerana melalui aktiviti itu kita boleh mendapat kemuliaan dan penghargaan. Keempat, melalui aktiviti bercakap-cakap dan berbual-bual dengan dapat berkongsi segala nasib yang baik dan nasib yang buruk yang sudah pasti kita alami.
Oleh kerana perbualan memenuhi keperluan-keperluan jiwa manusia yang begitu penting dan mendalam, maka itulah sebabnya kami mengambil inisiatif menuliskan sebuah buku panduan bercakap-cakap dan berbual-bual yang mudah dibaca dan difahami oleh semua lapisan masyarakat. |