| Sinopsis |
“Ketahuilah tidak ada jalan singkat untuk berjaya, melainkan dengan berusaha mengikut cara yang betul.”
Semua inginkan kejayaan. Mungkin kerana itu juga, saudara memegang buku ini sekarang kerana bercita-cita hendak berjaya. Tetapi tidak semua yang tahu jalan menuju kejayaan. Ada yang berjaya dan ada yang belum berjaya. Yang berjaya berkongsi kejayaan mereka dan yang belum berjaya terus berusaha.
Buku ini adalah himpunan idea-idea kejayaan yang dikongsi oleh mereka yang berjaya. Ia adalah petua bagaimana mereka menguruskan hidup mereka sehingga mendaki puncak kecemerlangan dan keunggulan. Mereka ini pernah menyusuri jalan yang sepatutnya untuk berjaya. Mereka tahu lorong yang lurus ataupun lorong yang bengkok, duri yang menikam ataupun pohon yang merimbun, madu yang mengubati ataupun racun yang memudaratkan.
Nah! Sekarang saudara tidak perlu bersusah payah lagi untuk meraba-raba panduan yang kita inginkan selama ini. Lima puluh lima petua dalam buku ini dikutip daripada pelbagai sumber termasuk daripada Quran dan hadis, sejarah, tokoh-tokoh antarabangsa, tokoh-tokoh tanah air dan banyak lagi. Pendek kata, buku ini sudah hampir mencukupi apabila saudara inginkan perubahan.
Secara ringkasnya, petua-petua ini merangkumi beberapa aspek antaranya aspek membina diri dalam pengurusan hidup, aspek pengurusan masa dan pengurusan kerja. Dalam erti kata lain, selain memberikan saudara semangat baru, ia juga memberikan idea-idea pengurusan hidup saudara seperti mengawal urus masa, dorongan bekerja, mengatasi penangguhan, teknik-teknik bekerja, mengagihkan tugasan, bekerja dalam pasukan, berkomunikasi, bermesyuarat, meningkatkan konsentrasi dan banyak lagi. Saudara dapat menikmati kehebatan petua dalam buku ini hanya apabila saudara membacanya.
Terima kasih kerana sudi menatap buku ini. Jika bomoh dapat memberikan petua untuk sentiasa bertenaga dan kuat mungkin buku ini dapat memberikan saudara petua bagaimana hendak menjadi sangat berjaya. Selamat membaca....
Dato’ Dr. Hj. Mohd Fadzilah Kamsah
Ahmad Fadzli Yusof |