| Sinopsis |
Buku ini memperkatakan kemahiran bekerja secara berpasukan yang mana menjadi salah satu jenis ‘kerja dengan orang lain’ yang paling popular dan berkesan.
Jika saudara menganggap kerja berpasukan begitu asing bagi saudara, sebenarnya silap! Tanpa saudara sedari, begitu banyak aktiviti hidup saudara yang boleh ‘digilap’ dengan kaedah-kaedah kerja berpasukan. Menjaga anak, melayan suami, mengemas rumah, bersukan, menguruskan pejabat, melancong ke pulau indah; semuanya ada sangkut-paut dengan kemahiran kerja secara berpasukan.
Ini kerana, setiap hari saudara berurusan dengan orang lain di sekitar saudara. Saudara tidak boleh menjadi seorang yang unggul jika tiada kemahiran bekerja dengan mereka. Kemuncak kejayaan seseorang peribadi itu bukanlah ‘berdikari dan tidak memerlukan orang lain’, tetapi seseorang itu dianggap benar-benar cemerlang jika dia boleh mencipta situasi ‘saling kebergantungan’ antara satu sama lain.
Setiap hari saudara bekerja dengan orang lain; walaupun bukan secara berpasukan. Belajar dalam kelas, menyiapkan kerja rumah, mengulang kaji pelajaran, kerja di pejabat, kerja persatuan, urusan-urusan rutin, dan banyak lagi. Pendek kata, mahu tidak mahu, saudara mesti memahirkan diri bagaimana untuk bekerja dengan orang lain dengan sebaik mungkin.
Buku ini memperkatakan kemahiran bekerja secara berpasukan yang mana menjadi salah satu jenis ‘kerja dengan orang lain’ yang paling popular dan berkesan. Sudah banyak organisasi-organisasi besar dan pakar-pakar pengurusan menekankan kepentingan aspek ini. Kerana apa? Kerana ia adalah penyumbang terbesar kepada kejayaan gergasi korporat dan prestasi mengagumkan pertubuhan-pertubuhan induk dunia. Ia umpama suatu rahsia yang mesti diterokai oleh semua!
Selain daripada kaedah kerja dalam pasukan yang formal dan identikal, buku ini juga memberi saudara beberapa kaedah dan kemahiran yang penting untuk bekerja dengan orang di sekeliling anda. Kadangkala, saudara boleh juga menganggap orang di sekeliling sebagai sebuah ‘pasukan’ yang turut sama membantu kejayaan hidup saudara. Bagaimana untuk bekerja dengan mereka? Buku ini mungkin membantu saudara.
Ada banyak kemahiran kerja berpasukan yang perlu saudara terokai seperti komunikasi dalam pasukan, membuat keputusan beramai-ramai, mengendalikan konflik, membina kreativiti, kepemimpinan, memotivasikan, membuat penilaian, memberi ganjaran, dan banyak lagi. Buku ini adalah gabungan daripada pengalaman sebenar saya dan juga idea-idea pakar pengurusan dalam membincangkan berkaitan kerja berpasukan. Saya juga ada menyelitkan kisah-kisah teladan supaya ia lebih mudah difahami oleh pembaca semua. Semoga semua mendapat manfaat dan pengetahuan pengetahuan baru daripada buku. Manfaatkanlah untuk kebaikan bersama. |