| Sinopsis |
Buku yang menerangkan bagaimana cara menyampaikan ucapan dengan baik. Ada pengucap yang mempunyai idea yang baik dikongsi bersama audiens tetapi cara penyampaiannya pada audiens pula kurang bersesuaian.
Pengucapan awam biasanya dikendalikan oleh mereka yang aktif dalam memberi ucapan sama ada motivasi dan sebagainya. Dalam beberapa majlis yang pernah kami hadiri, kadangkala terdapat beberapa individu daripada pihak pengurusan atasan dalam sesebuah organisasi yang besar tidak dapat menyampaikan ucapan dengan baik. Ada pengucap yang mempunyai idea yang baik dikongsi dengan audiens tetapi cara penyampaian pada audiens pula kurang bersesuaian. Apabila perkara ini berlaku, sudah tentulah orang bawahan sukar menerima mesej sebenar yang mahu disampaikan. Apabila mesej tidak kesampaian, maka matlamat yang hendak dicapai mungkin tidak dapat direalisasikan.
Kami harap buku ini dapat membantu pembaca meningkatkan keupayaan berucap dengan lebih baik supaya mesej dan hasrat yang hendak disampaikan diterima dengan baik oleh kumpulan sasaran. Perlu diingatkan, proses komunikasi itu dianggap berkesan sekiranya penerima maklumat itu memahami mesej yang disampaikan dan melakukan tindakan berdasarkan mesej yang sudah disampaikan.
Dalam buku yang dihasilkan ini, selain daripada membincangkan strategi pengucapan awam yang cemerlang, kami juga memberikan beberapa petua yang bersesuaian dengan masyarakat dan adab ketimuran kita supaya pengucap dapat menangani beberapa permasalahan yang timbul semasa berucap. Kadangkala, walaupun seorang pengucap itu benar-benar bersedia, ada beberapa perkara di luar dugaan dan kawalan pengucap juga boleh berlaku.
Buku yang dihasilkan ini dapat dijadikan rujukan oleh pelbagai pihak seperti pihak pengurusan sesebuah organisasi, ahli politik, pemimpin persatuan dan masyarakat, pengacara majlis, pensyarah, guru, mahasiswa, pelajar dan sebagainya.
Dalam menghasilkan buku ini, selain daripada berteraskan pengalaman peribadi, kami juga membuat rujukan daripada beberapa buku pengucapan awam yang dihasilkan dari dalam dan luar negara. Dengan rujukan daripada sumber yang pelbagai ini, diharapkan buku ini benar-benar dapat membantu pembaca dalam memberikan pengucapan awam yang cemerlang.
Di akhir buku ini, kami juga memaparkan beberapa kisah yang dialami oleh pengucap di negara kita untuk dijadikan iktibar dalam mengendalikan pengucapan awam. Kisah-kisah benar ini walaupun nampak remeh tetapi sekiranya tidak diambil berat, boleh memberikan mudarat yang besar kepada pengucap.
Akhirnya, kami mahu mengucapkan ribuan terima kasih di atas sokongan dan galakkan yang sentiasa diberikan oleh orang-orang yang rapat dengan kami seperti Roziah Shafiai, Haslida Abd Rashid, Mohd Rafi serta ahli keluarga kami. Kami juga mahu merakamkan penghargaan kami kepada pihak pengurusan UiTM Terengganu terutamanya Prof. Madya Dr. Hj. Mustaffa Mohd Zain selaku Pengarah UiTM Terengganu yang sentiasa menggalakkan pensyarah-pensyarah meningkatkan produktiviti hasil kerja (penyelidikan, menulis buku dan sebagainya) serta timbalan-timbalan pengarah dan rakan-rakan seperjuangan dalam menghasilkan buku ini. |