| Sinopsis |
Buku ini adalah himpunan idea-idea bagaimana seronok di tempat kerja. Seronok bekerja bukan bermakna kerja berseronok. Berseronok bukan kerja kita. Kerja kita adalah menyelesaikan tanggungjawab dan amanah di tempat kerja. Tetapi, bagaimanakah hendak menjadikan semua ini seronok?
Pada zaman Greek dan Yunani, yang bekerja hanyalah golongan hamba. Sebelum tiba zaman Renaissance, ada dua kelompok pekerja iaitu artisan dan pekerja biasa. Benjamin Franklin pula mencanangkan idea tentang ‘kerja adalah suatu tugasan yang mulia’. Bukan untuk mencari kekayaan, tetapi sebagai sumbangan kepada diri sendiri. Apabila tibanya revolusi Industri, pekerja dibahagikan kepada dua iaitu buruh kasar dan profesional.
Awal abad ke-20, muncul idea tentang kesatuan sekerja, idea-idea Marxist dan sosialis bagi membela para pekerja. Pada tahun 1980-an, pelbagai idea berkenaan pengurusan muncul, antaranya seperti Total Quality Management (TQM) dan sebagainya. Pada tahun 1990-an, bermulanya idea-idea kreatif berkenaan kerja berpasukan, pemerkasaan dan beberapa lagi idea yang terkenal.
Sekarang kita berada dalam abad ke-21. Pada masa ini, dunia bergerak dengan penuh pesat. Semuanya cepat dan tangkas. Kos mesti dijimatkan, kerja pula ditambah-tambah. Semakin banyak masa ‘disedekahkan’ pada komitmen di tempat kerja. Overtime, outstation, mesyuarat, kursus, se-minar, konvensyen dan banyak lagi ‘alasan-alasan’ mesti berada di tempat kerja. Kerja sudah menjadi peratusan yang besar dalam hidup kita. Bangun pun kerja, tidur pun kerja, makan pun kerja, minum pun kerja, main pun kerja dan semuanya kerja!
Apabila sebahagian besar hidup kita diperuntukkan untuk kerja, kenapa kita perlu tertekan dengan kerja? Adakah kita perlu habiskan masa lapan sehingga dua belas jam sehari berada dalam keadaan stres dan murung? Tertekan dan tension? Adakah perlu begitu?
Itu tidak perlu! Kerana kita berhak 'seronok' di tempat kerja. Kitalah yang membuat pilihan sama ada hendak seronok di tempat kerja ataupun moyok di tempat kerja. Apabila kita seronok, kerja bukanlah satu beban. Tetapi sekiranya kita moyok, kita berisiko tinggi mendapat penyakit-penyakit kardiovaskular! Nauzibillah…
Buku ini adalah himpunan idea-idea bagaimana rasa seronok di tempat kerja. Seronok bekerja bukanlah bermakna kerja berseronok. Berseronok bukan kerja kita. Kerja kita adalah menyelesaikan tanggungjawab dan amanah di tempat kerja. Tetapi, bagaimanakah hendak menjadikan semua ini seronok?
Ya, sekarang kita tidak perlu bersusah payah lagi bagi mendapatkan idea 'seronok bekerja'. Walaupun sebahagian besar idea buku ini banyak dikutip daripada pengalaman dari Barat, namun apa yang penting kita dapat belajar daripada kelebihan dan keterhadapan mereka. Dalam masa yang sama, ada beberapa idea yang dikutip daripada sumber-sumber seperti Quran dan hadis, sejarah, tokoh-tokoh tanah air dan banyak lagi. Semoga ia memberikan sedikit sebanyak panduan untuk seronok bekerja. |